Thursday, April 15, 2010

ISLAM SEDERHANA

ISLAM SEDERHANA

Sejak akhir-akhir ini kita mendengar suara-suara yang menyeru umat Islam menjadi umat yang moderate, umat yang “sederhana” atau pertengahan. Sederhaan dalam segala tingkah laku dan bentuk perbuatan.

Ini amat menyedihkan, apatah lagi suara-suara tersebut datangnya dari golongan bukan Islam untuk mengajar kita bagaiamana memprektikkan Islam dengan cara yang betul.

Jika kita umat Islam menghayati Islam dengan benar-benar serta kembali kepada ajarannya yang murni, kita akan dapati, Islam itu sendiri adalah agama pertengahan dan sederhana dalam asas-asas pendidikannya. Ini telah di jelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat: 143:

Bermaksud: “Dan demikianlah (pula) Kami telah menkadihan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan, agar mereka menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”.

Prinsip ini telah dijelaskan dengan perkataan dan perbuatan oleh pemimpin umat Rasul kesayangan kita Muhammad s.a.w dalam hadisnya yang berbunyi:

خير الأمور أوسطها

Ertinya: “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan”

Kesederhanaan yang dimaksud oleh Baginda s.a.w ialah kesederhanaan dalam apa jua bentuk pekerjaan yang kita lakukan, samada urusan yang berkaitan dengan dunia mahupun akhirat. (mengimbangi antara tuntutan dunia dan tuntutan akhir).

Umat Islam diajar tidak berlebih-lebihan didalam mengejar kemewahan di dunia dalam apa jua bentuknya, sehingga melupakan tuntutan akhirat. Ataupun sebaiknya, mengejar akhirat sehingga tidak mahu memajukan dirinya sehingga ketinggalan dalam semua urusan keduniaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77:

Ertinya: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni’matan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakkan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakkan”.

Kesederhanaan dalam megejar kekayaan. Sederhana dalam mengisi keperluan kehidupan, sederhana dalam melakukan ibadah kepada Tuhan sehingga tidak mengabaikan tanggungjawabnya yang lain ke atas sesama manusia. Seterusnya dalam segala urusan adalah tunjang pendidikan Islam.

Dalam konteks kehidupan kita hari ini di sebuah negara yang pesat membangun, manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kekayaan, sehingga timbul kebimbangan dalam diri kita, kemewahan yang berupa kekuasaan, kekayaan, pangkat, harta dan kedudukan hilang dari genggaman.

Manusia sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menekan orang lain demi mengekalkan kemewahan yang dimiliki. Tanpa di sedari, kita tergolongan dalam golongan orang–orang yang tidak seimbang atau modaret jika kita sanggup menindas orang lain demi memastikan kepentingan peribadi kita terpelihara. Jika ini berlaku dalam masyarakat kita, maka ketahuilah bahawa kita bukanlah manusia seimbang, tetapi kita adalah manusia yang sayangkan dunia lebih dari sayangkan akhirat.

Di dalam Islam, kita dianjurkan mengisi kehidupan dengan ilmu pengetahuan untuk keperluan dunia dan akhirat. Rasulullah s.a.w pernah bersabda maksudnya:

مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ وَمَنْ أَرَادَ اْلأَخِرَةَ فَعَلَيْهِ بِاْلعِلْمِ وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ بِاْلعِلْمِ.

“Barangsiapa mahukan dunia maka dengan ilmu, barangsiapa mahukan akhirat dengan ilmu, barang siapa mahukan kedua-duanya maka dengan ilmu”.

Sebagai contoh yang lain, kita tidak disuruh menuntut ilmu fardhu ain sahaja dengan maninggalkan ilmu fardhu kifayah. Begitu juga sebaliknya, kita tidak boleh mengatakan belajar Bahasa Arab dan ilmu Al-Quran sahaja sudah mencukupi, tidak perlu belajar bahasa lain atau ilmu-ilmu lain. Begitu juga, kadang-kadang kita berbangga dengan menguasai bahasa Inggeris tetapi tidak mahu belajar bahasa lain seperti Bahasa Arab contohnya.

Jika masyarakat kita masih beranggapan sedemikian. Maka kita bukanlah manusia yang seimbang kerana Rasulullah s.a.w mengajar kita belajar apa jua bahasa sekalipun, supaya kita terselamat daripada tipu daya kaum tersebut. Sabdanya bermaksud:

“Sesiapa yang belajar bahasa sesuatu kaum, mereka selamat dari dari tipudaya mereka (kaum tersebut)”.

Jika ini dapat kita laksanakan maka kita adalah manusia seimbang dalam memenuhi tuntutan Islam.

Agama Islam juga mengajar sederhana dalam ibadah. Sebagai contoh, kita tidak disuruh membujanag sepanjang hayat atas alasan untuk meluangkan waktu beribadah kepada Allah s.w.t. dengan memperbanyakkan sembahyang dan beriktikaf di masjid sepanjang hari tanpa keluar bekerja, sedangkan nafqah ibu bapa yang masih hidup diabaikan. Jika masih ada masyarakat Islam mempunyai tanggapan sedemikian, maka kita bukan umat pertengahan atau Islam moderat yang pernah dibentuk oleh Rsulullah s.a.w 1424 tahun yang lalu.

Jika kita ingin menjadi masyarakat Islam moderat atau Islam sederhana, sebagaimana umat di zaman Rasulullah s.a.w., kita perlu menguasai ilmu pengetahuan dengan membuat kajian untuk memahami Islam dengan cara yang betul. Bukan dengan tafsiran-tafsiran mengikut hawa nafsu serta kehendak kita sendiri tanpa merujuk kepada dua sumber asal al-Quran dan al-Sunnah, serta sumber lain seperti, al-Qiyas, al-Ijma’, al-istihsan dan lain-lain lagi.

Kerap kali kita salah memahami Islam dalam konteks yang sebenar. Kita diajar sejak kecil lagi menghormati orang tua, menghormati jiran tetangga dan saudara-mara. Penghormatan yang diajar oleh orang tua kita biasanya terhad keatas mereka yang beragama Islam sahaja, manakala mereka yang bukan Islam tidak perlu dihormati disebabkan berlainan agama dan bangsa. Ini juga adalah salah dan fanatik dalam memprektikkan ajaran Islam sebenar. Firman Allah dalam surah al-Hujuraat ayat 13:

Hai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakankan kamu dari seorang lelaki dan dari seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar”.

Ayat ini menyeru kepada manusia sejagat, tidak kira samada mereka itu Islam atau tidak, apa jua bentuk kepercayaan mereka, agar memelihara kesatuan, perpaduan, memahami konsep bahawa Allah s.w.t. menjadikan mereka berpuak-puak dan berbangsa-bangsa dengan tujuan berkenal-kenalan antara satu sama lain, bantu membantu dalam keadaan yang harmoni dan kasih saying, sekalipun mereka ini datang dari agama yang berbeza berpuak dan berbangsa-bangsa, seperti yang ada di negara kita ini, India, Cina, Melayu, Serani dan lainnya.

Panduan Al-Quran ini jika kita amati sedalam-dalamnya, kita akan dapati betapa besar rahmat Allah s.w.t. kepada hamba-hambanya. Kita tidak dibenarkan samasekali bermusuhan diantara satu sama lain. Apa lagi melakukan kezaliman dengan cara kekejaman dan keganasan terhadap sesama manusia. inilah ajaran suci Islam yang mengajar kita menghormati bangsa-bangsa lain dan amalan agama masing-masing, selama mana kita tidak disuruh menyembah Tuhan mereka. Firman Allah dalam surah al-Kafirun:

Begitulah keindahan Islam, jika kita dapat memahaminya dengan petunjuk ilmu Allah, maka kita tidak akan menjadi umat Islam yang fanatik, memahamai Islam sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain menjadikan kita berfahaman sempit. Akhirya kita terpinggir daripada arus kemajuan Nasional.

Saya menyeru diatas mimbar Jumaat yang mulia ini, agar kita semua mendalami serta mempelajari pengetahuan Islam dengan bersungguh-sungguh samada golongan bawahan atau golongan atasan (pemimpin). Kerana dengan cara itu sahajalah kita dapat menampilkan agama suci ini kepada masyarakat lain dengan penampilan yang sempurna. Sesuia dengan sifatnya sebagai agama rahmat untuk seluruh alam.

Penganut-penganut agama lain juga perlu berusaha memahami ajaran Islam. Janganlah hanya umat Islam sahaja disuruh bersikap toleransi, sedangkan penganut agama lain tidak menunjukkan sikap demikian.

Cukuplah firman Allah s.w.t yang meyakinkan kepada manusia sejagat bahawa kehadiran Nabi Muhammad s.a.w dengan ajaran Islam adalah rahmat untuk sekian alam. Jika kewujudan kita ditengah-tengah masyarakat bukan Islam dapat dirasakan kebaikannya oleh mereka, maka ketahuilah yang kita ini telah menjalankan tanggungjawab Islam sebagai umat pertengahan, tidak terlalu lembut dan tidak melampaui batas. Itulah Islam moderat dalam istilah masa kini.


Wassalam