SEMARAK ILMU SEMANGAT PADU
Oleh Ustaz Dr. Suhaimi bin Mustar
15.04.2010
Semarak ilmu semangat padu, merupakan empat patah perkataan tetapi mengandungi seribu satu macam erti dan tafsiran. “Semarak Ilmu Semangat Padu” menggambarkan kepada kita betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan manusia. Tanpa ilmu, manusia akan hidup seperti hidupnya haiwan-haiwan lain yang melata di muka bumi, tumpuan mereka hanyalah makan, minum, beranak-pinak.
Oleh kerana pentingnya ilmu pengetahuan, ayat yang pertama di turunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam surah al-’alaq di mulakan dengan perkataan (iqra’) bermaksud: “bacalah”. Kerana dengan, membaca (menuntut ilmu), mengkaji dan menulis manusia boleh menimba maklumat-maklumat baru yang boleh di terokai dan menjadi pengalaman-pengalaman baru yang boleh dipelajari oleh jenerasi yang datang selepas kita.
Kepentingan ilmu pengetahuan dapat kita lihat dari beberapa sudut. Antaranya, dari sudut individu, dimana manusia itu menjadi mulia adalah kerana ilmu yang dimilikinya. Begitu juga yang membezakan kehebatan satu bangsa dengan suatu bansa yang lainnya juga di ukur sejauh mana kemantapan ilmunya. Allah mengangkat darjat seorang manusia juga kerana ilmu yang dimilikinya.
Kita juga mungkin bersependapat jika saya katakan, seorang ayah tidak bimbang kerana tidak meninggalkan harta yang banyak untuk anak-anaknya. Akan tetapi bimbang jika meninggalkan anak-anak tanpa ilmu di dalam dada mereka. Kerana harta yang di miliki akan habis tanpa ilmu. Sebaliknya, ilmu pengetahun akan menghasilkan lebih banyak pulangan dan peluang pekerjaan serta hasil pendapatan berbentuk harta kekayaan .
Dari sudut socio-economy pula, sesebuah masyarakat itu dipandang mulia kerana kebijaksannan mereka mentadbir negara dengan kesetabilan ekonomi yang mantap sehingga menghasilkan kehidupan yang harmoni aman dan damai dalam negara seperti Sigapura ini. Semuanya ini tidak akan terhasil, jika masyarakat tidak mempunyai ilmu dalam berbagai bidang kepakaran bergabung tenaga, bekerja keras mendirikan sebuah negara idaman yang aman.
Ilmu pengetahun sahaja tidak mencukupi untuk kita menghasilkan kehidupan yang aman damai di dalam sesebuah negara. Ianya mestilah disertai dengan kesepakatan dan kesepaduan, apatalah lagi untuk hidup di dalam dunia global masakini. Sebagai contoh yang mudah, bagaimanakah sebuah rumahtangga akan berasa aman damai jika penghuninya tidak ada kesepakatan dan patuh kepada ketua rumahtangga serta peraturannya. Dalam konteks pemerintahan pula, bagaimankah sesebuah pemerintahan dapat bangkit jika rakyatnya tidak bersatu padu dan besepakat, masing-masing hidup dengan mementingkan diri mereka sendiri. Sudah tentu negara akan huru-hara, malah dunia tidak akan aman dan selamat lagi untuk didiami.
Dalam kita menyemarakan lagi semangat menuntut ilmu dikalangan masyarakat, jangan lupa diri kita sendiri dan jangan lupa ilmu yang bagaimana harus diberikan keutamaan untuk dipelajari. Sebagai orang Islam, kita dituntut mempelajari ilmu tauhid untuk mengenal Tuhan, ilmu Al-Quran untuk memahami firman serta ilmu asas fardu ain yang membolehkan kita melaksanakan tuntutan agama yang sempurna kepada Allah s.w.t.
Setelah tuntuan ini dipenuhi, kita perlu berani menerokai bidang-bidang baru yang belum pernah diterokai oleh umat Islam sebelum kita. Untuk mencapai tahap tersebut, kita haruslah menghayati perintah dan ajaran agama yang mengganjurkan menuntut ilmu sekalipun mempelajarinya dari orang bukan Islam. Kita perlu berinteraksi dengan mereka yang berlainan agama budaya dan bangsa. Kita tidak boleh hidup dipinggiran dalam kelompok Islam sahaja jika ingin berjaya menerokai bidang-bidang baru dalam ilmu pengetahuan.
Akhir sekali, ilmu pengetahun tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, ianya lebih berharga daripad apa yang kita miliki, dengannya kita mengenal Allah, denagnnya juga kita berbeza dengan haiwan-haiwan lain dan dengannya juga kita mengecapi kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat. Bersesuaian dengan perintah Allah dan RasulNya.
Dasar ini di sepakati oleh semua manusia di setiap peringkat dalam lapisan masyarakat, sehingga kempen yang di lancarkan oleh Pemerintah “Knowledge Based Economy (KBE) atau dalam bahasa melayunya (Ekomomi Berteraskan Ilmu) menjadi asas kemajuan dan kebangkitan. Ini ditambah dengan peranan yang di mainkan oleh setiap individu dikalangan kita dalam membangunkan negara dan menyumbang kepada keamanan dunia, Ini semua memerlukan kesatuan, perpaduan disamping ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang masing-masing.