Skip to main content

MENGAPA PERLU PADA FATWA?

MENGAPA PERLU PADA FATWA

Oleh Ustaz Dr. Suhaimi bin Mustar

15.04.2010




1. Takrif Fatwa






1.1 Menurut ibn Mandzur: “perkataan fatwa berasal dari perkataan Arab yang bererti penjelasan tentang hukum syara’ terhadap perkara yang menjadi keraguan”.






1.2 Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi, fatwa dari segi istilah pula bermaksud: “memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu masalah sebagai jawapan bagi sesiapa yang bertanya, baik secara bersendirian atau berjemaah”.






2. Kepentingan Fatwa






2.1 Kepentingan fatwa dalam kehidupan masyarakat Islam walau di bumi mana sekalipun mereka berada tidak dapat di nafikan atas tiga sebab berikut:






i) Pertama, agama Islam memerintahkan umatnya bertanya kepada orang yang lebih ‘arif dan alim jika mereka tidak mengetahui sesuatu perkara. Fiman Allah s.w.t dalam surah an-Nahl: 43 bermaksud:






“Maka bertanyalah kamu kepada ahl al-zikr (berpengetahuan agama) jika kamu tidak mengetahui”






ii) Kedua, terdapat banyak ayat-ayat al-Quran memberikan gambaran tentang kepentingan fatwa di zaman Rasulullah s.a.w. Antaranya firman Allah dalam surah an-Nisa’: 176 berksud:






“Mereka ( orang-orang Islam) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad mengenai masalah kalalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu dalam masalah kalalah itu”.






iii) Ketiga, al-Quran dan al-Sunnah sendiri telah menetapkan beberapa kaedah menejelaskan hukum syara’ kepada manusia. Anatara cara tersebut ialah, memberikan ketentuan hukum secara langsung tanpa ada soalan atau pertanyaan dari orang ramai. Yang kedua, memberikan ketentuan hukum sebagai jawapan kepada pertanyaan terhadap sesuatu masalah atau kemusykilan. Inilah yang dinamakan fatwa.






2.2 Daripada penjelasan di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa fatwa itu hidup sekalipun Rasulullah s.a.w sebagai Mufti yang unggul telah mangkat dan tugas Baginda diambilalih oleh para ulama’ kerana mereka merupakan pewaris anbiya’. Jika didalam sesebuah Negara tidak ada seorangpun yang layak memberi fatwa kepada manusia, maka berdosalah semua penduduk Negara tersebut.






2.3 Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’: “Memberi fatwa hukumnya fardhu kifayah. Apabila sesaorang diminta memberi fatwa dan tiada orang lain yang berkelayakan, maka ketika itu hukumnya menjadi fardhu ain ke atas dirinya”.






2.4 Selain itu, memberi fatwa adalah tugas yang amat mulia dan agung, kerana ia menepati kedudukan Nabi Muhammad s.a.w, menyampaikan ajaran Allah s.w.t, mengajar dan memberi petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar serta memberi peringatan kepada mereka dari ancaman azam siksa bagi yang menyeleweng.






2.5 Rasulullah s.a.w diutus oleh Allah s.w.t kepada jin dan manusia sebagai rahmat sekian alam. Menyeru kepada kebaikan dengan mengajarkan syari’at Allah s.w.t dengan sejelas-jelasnya. Dalam menjalankan tugas memberi penjelasan hukum (fatwa) kepada manusia, Rasulullah s.a.w menyampaikannya melalui tiga cara:






i) Pertama, penjelasan hukum melalui al-Quran.


ii) Kedua, melalui al-Sunnah.


iii) Ketiga, melalui ijtihad Baginda s.a.w.










3. Contoh Fatwa-Fatwa Rasulullah s.a.w.






3.1 Adapun contoh fatwa yang dikeluarkan oleh Baginda s.a.w menentukan hukum melalui al-Quran, firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 222: Bermaksud:






“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “darah haid itu adalah mendatangkan mudarat”. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhi wanita (jangan bersatu dengan isteri kamu) dalam masa haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersatu) sebelum mereka suci..”






3.2 Ayat diatas memberikan penjelasan hukum tentang wanita yang datang haid. Sebagai penjelasan kepada yang bertanya, Allah s.w.t menurunkan ayat di atas melaui lidah RasulNya s.a.w.






3.3 Adapun contoh penjelasan hukum melalui al-Sunnah pula, terdapat banyak ayat-ayat al-Quran diturunkan secara umum memerlukan penjelasan lanjut daripada al-Sunnah. Antaranya perintah mendirikan sembahyang dalam surah al-Hajj ayat 77.






Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman ruku’lah serta sujudlah (mengejakan sembahyang)”.






3.4 Walaupun perintah sembahyang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t, namun perlaksanaannya secara terperinci masih lagi samar. Sebagai penjelasannya baginda bersabda:






Maksudnya: “Dan sembahyanglah kamu sepertimana kamu melihat aku sembahyang”






3.5 Akhir sekali, contoh fatwa Baginda s.a.w. melalui ijtihad pula, mengenai tawanan Badr. Ketika hendak di buat ketentuan hukum mengenainya, tidak ada ayat al-Quran yang menjelaskan hukum tersebut. Untuk mengatasinya, Baginda berijtihad dengan mendapatkan pandangan para sahabat. Saidina Abu Bakar r.a. mengesyurkan diambil tebusan dari mereka tanpa di jatuhkan hukuman bunuh dengan harapan mereka akan mendapat hidayah memeluk agama Islam. Manakala pandangan saidina Umar r.a. pula, tawanan-tawanan tersebut perlu di jatuhkan hukuman bunuh kerana kekejaman yang dilakukan terhadap Rasulullah s.a.w. dan orang Islam.






3.6 Setelah mengkaji kedua-dua pendapat, Baginda s.a.w. cenderung kepadada pendapat Abu Bakar lalu menolak pendapat yang diusulkan oleh Umar r.a. kerana pendapat Abu Baka lebih peri kemanusiaan.






3.7 Namun, fatwa yang dikeluarkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui ijtihadnya sendiri di sanggah oleh Allah s.w.t. dan mendapat teguran. Ini dirakamkan dalam surah al-Anfal ayat 67.






Bermaksud: “Tidaklah patut bagi sesaorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia, sedangkan Allah menghendaki (bagi kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”.






3.8 Dengan turunnya ayat diatas, maka batallah hukum fatwa yang diputuskan oleh Baginda s.a.w. melalui ijtiahadnya. Lalu Baginda mengubah keputusan seperti mana yang dikehendakki oleh Allah s.w.t.










3.9 Daripada kejadian di atas, terdapat tiga hikmah penting yang perlu diberi perhatian:






I) Pertama, kesilapan dalam memutuskan sesuatu hukum (fatwa) melalui ijtihad bukanlah suatu keaiban. Jika ia diangap kelemahan dan keaiban, maka akan pupuslah usaha-usaha ijtihad dikalangan ulama’ dengan demikian, maka maslahat syari’at terhadap manusia tidak terpelihara.






II) Kedua, kejadian ini membuktikan bahawa, syari’at Allah terpelihara daripada sebarang kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. Kerana ia datang dari Allah s.w.t, makanya senetiasa dipantau sehingga mendapat restu Allah s.w.t.






III) Ketiga, Ijtihad digalakkan dalam Islam, dengannya umat Islam dapat menentukan hukum-hukum syara’ yang baru dalam kes-kes yang belum pernah ada nas (dalil) sebelumnya dalam al-Quran atau al-Sunnah.


4. Fatwa Selepas Kewafatan Rasulullah s.a.w






4.1 Setelah kewafatan Baginda s.a.w, tugas menyampaikan fatwa dipikul oleh para sahabat para tabi’in dan tabi’it tabi’in, imam-imam mujtahid, para ulama’ hinggalah ke hari ini mengikut framework fatwa dan dasar yang telah ditetapkan oleh Baginda s.a.w.






4.2 Begitulah perkembangan secara ringkas fatwa yang melalui berbagai peredaran masa dan zaman sehinggalah sampai zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz (tahun 96-101H) institusi fatwa di selaraskan. Antara penguatkuasaan yang dilakukan beliau ialah, pengeluaran fatwa di lakukan oleh mufti-mufti yang dilantik oleh pemerintah sahaja. Kedua, jawatan Mufti dilantik secara rasmi oleh pemerintah. Ketiga, institusi fatwa mendapat perhatian pemerintah dan berjalan dengan lebih sistematik.






4.3 Sebagai penutup, fatwa merupakan ijtihad ulama’ dan satu-satunya alat yang boleh digunakan untuk menentukan hukum-hukum yang belum ada ketentuan syara’. Kedua, proses mengeluarkan fatwa untuk menentukan sesuatu hukum, hanya boleh dilakukan oleh Mufti yang dilantik didalam sesebuah Negara. Manakala masyarakat Islam yang hidup dibawah naungan Negara tersebut perlu patuh dengan fatwa yang dikeluarkan setelah proses yang disepakati oleh para ulama’ serta pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu - jika diperlukan -.






4.4 Begitulah saudara sekelian apa yang sepatutnya berlaku pada hari ini. Institusi fatwa perlu dipertahankan dan di hormati, kerana dengannya umat Islam dapat memelihara maslahat syari’ah dan kepentingan manusia sejagat.






4.5 Jika sekalipun kita tidak bersetuju dengan sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh mana-mana negera, maka janganlah sekali-kali mengeluarkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas ke atas golongan alim ulama’. Sebagai muslim yang patuh dengan agamanaya, kita seharusnya mempunyai etika dan cara untuk menyuarakan keperihatinan dan tidak menolak secara buta tuli, akan tetapi dengan hikmah dan hujjah-hujjah yang bersandarkan panduan syari’at Islam yang suci ini.

Popular posts from this blog

FATWA DAN FUNGSINYA

FATWA DAN FUNGSINYA SEBAGAI KOMUNIKASI HUKUM MASYARAKAT ISLAM SINGAPURA: SATU PENELITIAN Oleh Ustaz Dr. Suhaimi bin Mustar 15.04.2010 Pendahuluan Rasulullah s.a.w diutus Allah s.w.t sebagai rahmat sekian alam. Dalam menjalankan tugas sebagai rasul, Rasulullah s.a.w bertanggungjawab menyeru umat manusia dengan memberikan panduan-panduan dan memperjelaskan ketentuan hukum daripa Allah s.w.t. Ketentuan hukum-hukum tersebut disampaikan melalui tiga bentuk: a) Penjelasan hukum melalui al-Quran b) Penjelasan hukum melaui al-Sunnah c) Penjelasan melalui ijtihan Baginda sendiri. Fatwa tidak terhenti dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. Malah, poses ini telah diikuti oleh jenerasi yang hidup selepas Nabi s.a.w mulai daripada jenerasi sahabah, tabi’in dan pengikut tabi’in sehinggalah hari ini dalam mengeluarkan sesebuah fatwa. Definisi Fatwa Menurut ibn Mandzur: “perkataan fatwa berasal dari perkataan Arab al-fata, alfutya, alfutwa yang bererti penjelasan tentang...

Insurans Dan Keperluannya

Insurans Menurut Pandangan Islam Oleh Ustaz Dr. Suhaimi bin Mustar 15.04.2010 1. Pendahuluan 1.1 Insurans dengan kepelbagaian jenisnya merupakan di antara muamalah baru di dalam bidang ekonomi yang memerlukan perbahasan terkini dari sudut Syari’ah. 1.2 Menurut para ulama’, insurans terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama: at-Tabaduli. Kedua, al-ijtima’ie. Ketiga, al-Tijari. 1.3 Jenis pertama dan kedua, para ulama’ sepakat ianya bertepatan dengan asas Syari’ah Islamiah. Manakala jenis yang ketiga - termasuk di dalamnya insurans nyawa – banyak perselisihan pendapat mengenainya. Khilaf ulama’ wujud pada hokum jenis yang ketiga. 1.4 Insurans dengan jenis-jenisnya yang berbeza menjadi satu keperluan social yang mendesak masakini kerana tuntutan keperluan hidup. Masyarakat tidak boleh lari daripadanya. 1.5 Kertas ini bertujuan menglaji semula isyu insurans, secara khusus insurans at-Tijari yang merangkumi isu insurans nyawa, dilihat dari konteks dan kacamata ke...
HARTA PEWARISAN (PUSAKA)             Harta pusaka ialah peninggalan sesaorang yang telah meninggal dunia, baik berupa harta benda atau hak-hak ataupun aset yang mempunyai nilai kebendaan yang dibenarkan syariat untuk dipusakakan oleh ahli waris. Sabda Nabi s.a.w. :             Terjemahnnya: "Baragsiapa yang meninggalkan sesuatu hak atau harta, maka hak atau harta itu adalah untuk ahli warsnya setelah kematiannya".             Perkara-perkara yang termasuk sebagai harta pusaka si mati adalah: a.        Harta benda yang bersifat tetap seperti bangunan, tanah, ladang dan seumpamanya b.       Harat benda yang bersifat tidak tetap atau boleh bergerak seperti, wang tunai, peralatan, kenderaan, barang-barang kemas, pakaian dan seumpamanya. c.   ...